$

Friday, November 13, 2009

ke Ipoh kita


Wednesday, November 11, 2009

Yang memiliki keteguhan hati

(buat Azman dan Al Fatehah untukmu Azmi Haron*)

Siapakah yang teguh hatinya
pada malam gelap
di antara simpang Adela dan Sening
sepanjang jalan sempit menuju ke Pengerang
ke Teluk laut China Selatan, hujung benua, tanjungnya semenanjung.

Siapakah yang teguh hatinya
meratib ratapan
tangis air mata penghidupan dan nyawa,
yang telah tiada, tubuh kaku, luka-luka
tak berdarah, patah tulang-tulang rusuk dan organ-organ badan yang pecah.

Siapakah yang teguh hatinya
di tengah lautan
nasib tak pasti, nelayan menjaring ikan,
di darat tekong melukah rasuah berlimpah
mangsa itu mereka yang gagal menangkap seragam haram, pura-pura.

Siapakah yang teguh hatinya
menempuh dugaan
sabar menunggu di sebuah pelabuhan
berliku ribuan simpang, lurus melangkah,
melihat jurang terlalu dalam membeza, jauh sauh Kapal berlabuh.

Siapakah yang teguh hatinya
enggan mengira-ngira
besar keuntungan, suatu pelaburan
menimbun harta benda, menipis perasaan
tak ada makna papa atau kaya, bila tiba waktunya untuk pergi.

Siapakah yang teguh hatinya
di pengkebumian
mengambus liang, menghapus dengki dan hasad,
doa yang tertawa dengan lawak manusia,
nisan kayu, tangan ibu, bahagialah isteri dan anak-anakmu.

*Meninggal dunia pada Selasa, malam, 3 November 2009.
Kemalangan jalanraya dalam usia 43 tahun.

3:41 pagi, 11 November 2009, taman halaman, am punk.

Tuesday, November 3, 2009

Al-Fatehah: Keteguhan hati telah pergi

mendapat berita, abangku, seorang nelayan, bekerja kampung di Pengerang telah pergi menghadap Ilahi, Al Fatehah buatmu Azmi.

Sunday, November 1, 2009

STJ: Mimpi Yusof dan sebuah sumur

Setiap orang duduk dalam dunia yang dihasrat inginkan dan kenyataan hidup yang didapatkan. Antara yang ideal dan yang real, kita cuba mencari keseimbangan. Itulah yang aku hayati dalam buku Sembang Tepi Jalan (STJ), kumpulan tulisan Meor Yusof Azidin, insan seniman trovador, yang cukup aku hormati.

STJ, gebang kaki limanya berhabuk busuk, jalanan jalang yang sayu bernafaskan irama lagu sedih dan “kemurungan.” Memang benar, hebat atau tidak itu hanya persepsi atau bersifat sementara. Sekarang kita berbicara di ruang kesementaraan, besok atau masa depan itu, bukan ceritanya. Sekarang ini bagaimana? Biarpun selesai titik tanya itu, sekarang telah hilang, menjadi yang lepas, tapi tunggulah hingga selesai tulisan ini dulu.

“Meor seorang pemuzik, tetapi buku ini, menunjukkan Meor seorang penulis,” begitu lebih kurang ingatanku mengimbau kata-kata penyair Pyanhabib, sewaktu dia melancarkan STJ, terbitan Oxigen Media, kira-kira seminggu yang dulu.

Dalam tulisan ini, suatu yang janggal, aku ingin memanggilnya Yusof. Tulisan ini tidaklah neutral dan seimbang. Barangkali juga tempang, dan tidak semutlaknya menggambarkan STJ dan Yusof. Melihat rupaku orang sudah tahu, tak ada berkecualinya sampah seperti aku ini. Tapi aku peduli apa. Yusof guru gitarku (aku belajar sikit-sikit saja, di bibir air, tak sanggup ke laut lepas, kemudian tak sempat habis belajar, apatah lagi dengan tidak wajar, pengajarannya tidak berbayar pula). Sebagai seorang yang kunun-kununnya mengenal Yusof, pastilah aku akan menyebelahi, mempertahan dan seboleh yang mungkin mengulas yang baik-baik belaka tentang buku ini.

Dia bukan sembarangan Yusof yang mencari sebarang sumur. Dia adalah Meor Yusof Azidin yang tercampak (dicampak atau terjun) ke dalam sumur. Cukup jauh ke dasar bumi, tapi jelas, dia tahu, dari cahaya dia terdampar ke dalam kegelapan. Maka berdiamlah dia seketika. Tangis air mata, derita luka berdarah dan kelaparan. Dia tidur dan menemui mimpi-mimpi bahagia.

Yusof sebenarnya adalah gejala pasca moden. Manusia yang hidup dalam tradisi masa lalu dan kemodenan masa kini. Tidak, dia bukannya seorang penghidap skizophrenia budaya, orang-orang ragu seperti aku yang keliru kebingungan dan tidak tentu untuk memilih antara warisan silam yang tersisa dengan limpahan kemodenan yang menyerang, akhirnya tidak peduli, menjadi bangsat di jalan sesat, dipinggir dan terasing, apa ada hal kan, landasan masing-masing, nak sangat, nah kau dapat.

Malah tulisan-tulisan dalam STJ memperlihatkan Yusof berdiri (atau duduk atau berbaring atau meniarap atau apa saja kedudukakannya, tidak mungkin berlari) di tengah-tengah titik keseimbangan antara yang lampau lepas dengan yang kini. “Aku berada di antara langit dan bumi,” suatu hal yang bukan mudah sebenarnya. Berpusatkan pada diri (the self), dia fasih merungkai Beetles, Nick Drake dengan hikayat Mahabrata atau Pink Floyd dan Ghazal Nawaz. Atau falsafah Osho, ajaran Budha dengan berbagai ragam taksiran Islam. Atau dia dapat mengenal yang mana rahsia dan yang mana untuk diketahui umum.

Apapun, Yusof memerikan kita perihal identiti dan pencarian untuk menjadi diri sendiri. Suatu yang amat susah sebenarnya. Dia tidak sukakan ketidakjujuran, tulisnya “aku setuju kalau kita meletakkan kebenaran itu ditempat teratas. Walau ia menyakitkan, walau ia menyedihkan, walau ianya pahit, walau ianya manis dan walau ianya membodohkan.”

“Manusia-manusia hari ini hanya mempermainkan nilai kekuasaan Tuhan,” begitu Yusof menyanggah golongan politik yang mempolitikkan bangsa dan agama untuk kepentingan peribadi.

STJ mengalunkan kisah-kisah dan kefahaman diri Yusof, insan, “pengembara,” yang mengamat hasad dan jasad dunia benda (matterialisme), lantas menikmati murni dan seni dunia kerohanian (spirituality). STJ suatu catatan berat (ringan penyampaiannya) serta sarat dengan kiasan (idioms) tentang cinta dan politiknya, tentang hidup dan perjalanannya, tentang muzik dan keindahannya, tentang keluarga dan tanggungjawabnya, tentang suara “lara ria”, tentang tempat dan habitatnya, tentang manusia, kemanusiaan dan ketuhanannya.

“Aku mengakui aku sememangnya bodoh,” suatu ayat mengejek diri sendiri (self parody) tapi mengingatkan aku pada ‘Wisdom of the idiot’. Apabila sudah seimbang, tak ada lagi yang bertentangan maknanya (oxymoron). Yusof sebenarnya faham akan kenyataan hidupnya sebagai seorang manusia. Merendah diri sememangnya amat baik, melatih hati untuk tidak jadi angkuh. Dalam Aku 1, Yusof mencoret, “maaf, sehingga hari ini aku masih tidak pasti adakah aku ini seorang artis atau tidak.” Jawabku, mestilah!

Setakat ini, Yusof telah menempuh rintangan getir, ujian duka dan lara kesengsaraan dalam menyeimbangkan kewujudan dirinya sebagai seorang ayah, seorang suami, seorang anak, seorang kawan, seorang busker, seorang pemuzik, seorang pelajar, seorang guru, seorang penulis, seorang seniman (artiste), seorang yang berfikir, seorang warga, juga seorang kekasih pada cinta Tuhannya. Hey ramai yang belum tahu, dia juga seorang pelukis.

Seorang Yusof sebenarnya cukup sabar, perlahan-lahan dengan ketabahan dia dapat memanjat keluar dari perigi yang cukup dalam dan gelap itu. Aku percaya, luka dan kesakitan pasti akan sembuh akhirnya. Perjuangan kelangsungan hidup ‘berseni’ yang bukan mudah ini mesti diteruskan. Perjalanan seorang Meor Yusof Azidin belum lagi berakhir hanya dengan penerbitan buku STJ. Malah kita mengharapkan pada masa mendatang, dia akan terus menulis buku-buku, lirik dan menggubah lagu, merakam album dan terus bernyanyi (di manapun jua) sebagai khazanah kesenian yang nilainya bukan hanya dapat diukur dengan kejayaan dagang, keuntungan wang ringgit. Biarpun tidak rugi dan tidak salah kiranya untuk mendapat laba, asal betul caranya. Kalaupun dia tidak memerlukannya, “aku tetap menerima seadanya,” tetapi kita perlu menyokongnya.

Jadi apa ditunggu lagi, cari buku STJ dan belilah!

(Tahniah Oxygen Media dan penerbit Faisal Mustaffa, juga kawan-kawan lingkungan Frinjan – Ruhayat X, Zulhabri.com, Alina, Hegira atas giat usaha mereka)

Thursday, October 29, 2009

DUN Perak: Kenyataan Amnesty

AMNESTY INTERNATIONAL MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR – 28 OCTOBER 2009
HENTIKAN PENGGUNAAN INJUNKSI UMUM BAGI MENEKAN HAK RAKYAT

Amnesty International Malaysia amat prihatin dengan penggunaan injuksi umum yang diperolehi oleh pihak polis untuk persidangan 28 Oktober Dewan Undangan Negeri Perak. Kami khuatir mengenai kekerapan penggunaan perintah injunksi ke atas orang awam kerana ia adalah arbitrari dan membenarkan penyalahgunaan kuasa tangkap dan tahan, kerana perintah mahkamah ini membenarkan penangkapan dan penahanan orang awam di dalam sesuatu kawasan tanpa kehadiran proses yang wajar dan pemeriksaan fakta.

Amnesty International Malaysia mengetahui bahawa ini bukan kali pertama polis memperoleh perintah mahkamah sebegini. Ia sudah menjadi amalan polis untuk memudahkan tindakan keras besar-besaran menentang perhimpunan aman dan untuk membuat penangkapan menyeluruh secara arbitrari. Injunksi terhadap semua rakyat Malaysia ini merupakan satu ejekan yang ditujukan kepada sistem keadilan kita. Ini adalah kerana permohonan sebegini dipinta dan diberikan hanya berdasarkan prasangka dan permohonan dari satu pihak dan menghalang hak pihak yang lain ke atas perbicaraan yang adil di dalam mahkamah terbuka dan dari menjawab dakwaan dan alasan polis.

Amnesty berpendapat bahawa perintah mahkamah itu diperolehi semata-mata untuk menumpas dan menundukkan kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman. Permohonan ini memberi kuasa arbitrari kepada polis untuk menahan rakyat yang mempraktikkan hak asasi mereka berdasarkan Perlembagaan Negara. Perintah mahkamah itu juga memberi polis kuasa tidak terhad dan membolehkan penyalahgunaan kuasa tersebut. Perintah tersebut akan mendedahkan rakyat kepada risiko penangkapan, penahanan rambang, penyiksaan atau layanan atau tindakan yang zalim, dan pendakwaan selektif. Kami berpendapat bahawa perintah mahkamah ini menundukkan kebebasan asasi perhimpunan dan pergerakan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Amnesty International Malaysia ingin mengingatkan polis Malaysia tentang kewajipan statutori mereka untuk melindungi kepentingan dan hak asasi rakyat. Artikel 5, Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Undang- Undang Bangsa- Bangsa Bersatu menjelaskan: ‘Tiada sebarang pegawai penguatkuasa undang-undang boleh melakukan, menghasut atau membiarkan apa- apa tindakan aniaya atau zalim, sifat tidak berperikemanusiaan atau penghinaan atau hukuman, dan juga tiada pegawai penguatkuasa yang boleh melaksanakan perintah pegawai atasan atau mengisytiharkan keadaan luar biasa seperti ancaman ke atas keselamatan negara, ketidakstabilan politik dalam negeri atau apa- apa darurat awam sebagai alasan untuk penganiayaan atau apa-apa kezaliman, sifat tidak berperikemanusiaan atau penghinaan atau hukuman.’

Amnesty International Malaysia berpendapat bahawa amalan polis di Malaysia mesti mematuhi dan mengikuti tahap kepatuhan yang tinggi dalam pengamalan hak asasi. Semua amalan dan perlaksanaan perintah perlu dengan jelas mencerminkan dan menunjukkan kepatuhan kepada hak asasi. Orang awam perlu diberikan perkhidmatan yang professional, bertanggungjawab dan berdasarkan hak asasi. Kami meminta pihak polis Malaysia untuk menghormati hak asasi rakyat Malaysia dan menghentikan amalan mendapatkan perintah mahkamah unilateral untuk bertindak keras terhadap perhimpunan aman di Malaysia.

K. Shan , Penyelaras Kempen
--
Nora Murat
Executive DirectorAmnesty International MalaysiaTel: 603 7955 2680Fax: 603 7955 2682www.aimalaysia.org

dalam jurang

sementara ini, aku terjerumus ke dalam jurang. sebenarnya tidaklah begitu dalam. tapi yang namanya jurang itu, pastilah perlu usaha untuk naik ke tebing. dan aku memilihnya untuk naik memanjat perlahan-perlahan. tak ada lif di jurang ini.
sementara ini aku hidup dalam jurang digital, terputus sambungan ke dunia luas internet.
dan aku sangat sukakan pengalaman2 sebegini, untuk aku selalu diingatkan akan hakikat kesementaraan.

ss: sabtu ini Al Fatehah Memali, akan ditayangkan dalam siri akhir jelajah freedom film fest, anjuran komas di holiday inn, jb, sesiapa ada kelapangan silalah datang. aku belum pasti dapat hadir atau tidak kerana poket yg kekeringan, dan aku baru belajar berjimat cermat - bukan kedekut.

Tuesday, October 27, 2009

pecah rumah mimpi

semalam rumahku dimasuki pencuri (sebenarnya belum lagi mencuri, agak tak wajar memanggilnya pencuri). baru menonjol kepalanya di tingkap dapur yg berjaya dipotong grill besi atau dicabutnya. yg mampu kulakukan hanyalah menyergah, hoii. dia lari, menyelinap di celah pagar yg telah robek dan tak jauh kudengar bunyi enjin motorsikal dihidupkan, dia berlalu pergi dan kalau sempat, mungkin akan datang lagi.

rumah ini, hanya ada mimpi, tiap tidurku bermimpi. siapa dia yg dtg itu? dari mana dia? punya rumahkah dia? apa yg mendorongnya sanggup berbuat kerja2 nekad begitu? kenapa?

aku hanya menjangka, dia hidup dalam lingkaran ganas kemiskinan atau ketagihan yang tidak tertahan-tahan, hidupnya di antara rumah-rumah mimpi - yg dipecah masuk, mendapat untung tak seberapa, pecah lagi, tertangkap, di lokap, di penjara, di pusat, keluar dan cuba lagi memecahkan rumah-rumah mimpi.
sampai bila?
semua orang, ingin bermimpi bahagia.

SS: takziah buat keluarga tragedi perkhemahan 1Malaysia, jambatan digantung ketamakan rasuah, inilah jadinya.